KUALA PERLIS: Mahasiswa hari ini
tidak hanya digalakkan menjalankan aktiviti dan tinggal di kawasan kampus
semata-mata malahan mereka digalakkan menjalankan tanggungjawab sosial serta
mendekati masyarakat yang kurang bernasib baik.
Mereka boleh membina keyakinan diri serta memperkukuhkan sahsiah melalui
program kemasyarakatan dalam usaha menjadi pemimpin negara dan masyarakat pada
masa akan datang.
Dekan Pembangunan Pelajar dan Alumni, Kolej Sastera dan Sains, Universiti
Utara Malaysia (UUM CAS), Dr Massudi Mahmuddin berkata, usaha mendekati
masyarakat adalah salah satu alternatif terbaik bagi membina tahap kepimpinan
dan tanggungjawab seseorang mahasiswa.
Beliau berkata, keyakinan diri akan bertambah apabila mereka perlu
berkomunikasi dan mampu mengendalikan projek membabitkan pelbagai lapisan
masyarakat.
”Kunci utama kejayaan seseorang mahasiswa adalah kemampuan dalam
melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan secara berkualiti, kreatif dan
inovatif,” katanya ketika ditemui di Majlis Makan Malam Amal PERMEDIA di sini,
semalam.
Dalam majlis itu,
seramai 23 anak-anak yatim dari Rumah Hembusan Bayu, Kangar di sini, mendapat
perhatian pelajar Persatuan Teknologi Media (PERMEDIA) apabila mereka diraikan
dalam majlis makan malam berkenaan.
Antara tetamu yang hadir, Pengurus TV3 Kedah dan Perlis, Hanim
Abdul Malek, Penyelaras Program Teknologi Media, Dr Sabrina Abdul Rashid,
Penasihat PERMEDIA, Dr Awan Ismail dan rakan media serta mahasiswa.
Massudi berkata,
tindakan mahasiswa ini mampu memberi impak yang besar kepada anak-anak yatim
kerana mereka turut membela nasib golongan yang kurang bernasib baik.
Dalam masa yang sama, Penyelaras Program Teknologi Media, Dr. Sabrina
Rashid berkata, pihak SMMTC memberi sokongan penuh dalam projek makan malam
amal PERMEDIA bagi membolehkan mahasiswa aktif dalam program kemasyarakatan.
”Tindakan ini dilihat mampu menggilap kepimpinan mahasiswa dalam usaha
menjalankan tanggungjawab sosial kepada masyarakat.” katanya.
Sementara itu, Penasihat PERMEDIA Dr. Awan Ismail berkata, projek ini tidak
akan dapat direalisasikan sekiranya mahasiswa persatuan PERMEDIA tidak
menggembleng tenaga untuk menjalankan program ini.
”Saya melihat mereka mampu menjalankan tanggungjawab dan membuktikan kepada
masyarakat bahawa mereka mampu memberi sumbangan kepada anak-anak yatim,”
katanya
Antara peserta yang turut hadir :
![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhsjvMoUPXBiLG3NLsL39FKrU7MCKaJO5j8lEkC9RNu7Y0Sr7HcceDMrebcw425ysXu0q1w6CE6HcmU7D_1ZGPY8azdZsasu4L2KukdYwa5XhhGehQ8d2861WojwKLVxGZRUX-oe9Kn6IaS/s1600/10733427_765135450224614_1596045019_n+(1).jpg)
No comments:
Post a Comment